KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM5.3 juta hingga 2025 untuk menaik taraf fasiliti dan makmal aplikasi teknologi nuklear Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) sebagai inisiatif mendepani isu sekuriti makanan negara.

Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata projek itu yang bermula tahun ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan menerusi peningkatan produktiviti agromakanan melalui teknik biak baka mutasi.

"Di samping itu, teknik isotop stabil digunakan bagi menentukan ketulenan makanan serta mengesahkan asal usul produk itu," katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi MOSTI di Dewan Rakyat hari ini.

Chang berkata MOSTI selaku peneraju agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) turut memainkan peranan membantu memperkukuh lagi sekuriti makanan negara melalui penggunaan teknologi.

"Penggunaan teknologi seperti dron dan robotik oleh syarikat tempatan untuk proses penyemburan baja dan pembenihan pokok dapat meningkatkan kecekapan sekali gus mempercepat masa dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Beliau berkata antara penyelidikan berkaitan sektor agromakanan yang telah dilaksanakan oleh agensi di bawah MOSTI ialah penghasilan benih padi NMR 152 di bawah Nuklear Malaysia yang mampu mengeluarkan hasil tanaman hingga 10 tan sehektar berbanding kadar purata hasil padi lain sekitar enam tan sehektar di kawasan tanaman yang sama.

"Penghasilan benih baharu NMR 152 ini juga telah diiktiraf dan diperakui di peringkat antarabangsa menerusi penerimaan anugerah Outstanding Achievement Award IAEA dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) tentang Pembiakan Mutasi pada 2021 dan 2014, dan Anugerah Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA) 2020," katanya.

Dalam pada itu, Chang berkata MOSTI sedang membangunkan garis panduan untuk kajian kebolehlaksanaan teknologi pelancar angkasa bagi memastikan cadangan tapak pelancaran memenuhi segala keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata pihak industri yang berminat dalam membangunkan tapak pelancaran perlu mengemukakan laporan kebolehlaksanaan tapak pelancaran berdasarkan garis panduan itu untuk tujuan penilaian kerajaan.

"Seterusnya kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan masyarakat setempat sekiranya hasil kajian menunjukkan kebolehlaksanaan tapak pelancaran adalah tinggi," katanya.

-- BERNAMA